TAHUKAH ANDA TANDA-TANDANYA?
Article1_Banner

Bagi ramai orang, tanda pertama osteoporosis adalah patah tulang, yang juga dikenali sebagai fraktur kerapuhan. Bahagian paling biasa berlakunya fraktur adalah tulang pinggul, pergelangan tangan dan tulang belakang.1 Fraktur pergelangan tangan dan tulang pinggul mudah didiagnosis, namun sebanyak 70% fraktur tulang belakang tidak didiagnosis oleh doktor. 2 Ini mungkin berlaku kerana fraktur tulang belakang tidak selalunya menyakitkan, atau sesetengah orang menganggap kesakitan itu hanya sebagai sakit dan sengal-sengal otot atau ‘sakit belakang’. Bagi wanita yang pernah mengalami fraktur tulang belakang, risiko patah tulang belakang selanjutnya meningkat sebanyak lebih daripada 4 kali, dan risiko patah pinggul selanjutnya adalah 2 kali lebih banyak berbanding dengan wanita yang tidak pernah mengalami patah tulang belakang.3,4  Di samping itu, individu yang mengalami fraktur tulang belakang mungkin menderita daripada sakit belakang yang semakin teruk, perlu berehat di katil untuk tempoh yang lebih lama, perlu mengurangkan masa di tempat kerja dan mengalami kemurungan.5

Ini adalah tiga tanda utama yang menunjukkan bahawa anda mungkin mengalami fraktur tulang belakang dan kesihatan tulang anda semakin merosot:

1. Pengurangan ketinggian: Pernahkah ketinggian anda berkurangan lebih daripada 4 cm selepas anda mencecah usia 40 tahun?

Ia penting agar anda tahu bahawa ketinggian manusia biasanya akan berkurangan sedikit apabila usia semakin lanjut, namun, pengurangan ketinggian lebih daripada 4 cm dalam tempoh 1-3 tahun adalah sesuatu yang tidak normal, dan ini mungkin bermakna tulang yang lemah mengakibatkan tulang belakang anda retak atau fraktur.5-7 Minta doktor anda mengukur ketinggian anda semasa anda menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan anda untuk mengetahui perubahan ketinggian anda dan mengenal pasti sebarang kejadian fraktur tulang belakang yang mungkin berlaku.8

2. Postur yang membongkok: Adakah bahagian atas tulang belakang anda membongkok atau melengkung?

Ini dipanggil kifosis dan sering menjadi petanda bahawa anda menghidap osteoporosis. Kifosis berlaku apabila beberapa vertebra di bahagian atas tulang belakang anda beransur-ansur runtuh, dan belakang badan anda mula membengkok ke depan. Kifosis boleh mengakibatkan kehilangan ketinggian, sakit belakang dan juga masalah pernafasan, jadi anda dinasihatkan supaya berbincang dengan doktor anda sekiranya anda menyedari postur anda berubah dan minta bantuan doktor untuk melakukan penilaian osteoporosis.9

3. Kesakitan: Adakah anda mengalami sakit belakang baru-baru ini tanpa sebarang sebab yang jelas?

Jika anda menghidap osteoporosis, fraktur tulang belakang boleh berlaku disebabkan sesuatu yang biasanya hanya mengakibatkan trauma ringan pada tulang belakang, seperti membuka tingkap, jatuh yang tidak membawa kemudaratan atau tergeliat semasa mengangkat barang. Fraktur ini boleh menyebabkan kesakitan akut dan kronik, tetapi sebanyak dua pertiga kes fraktur tulang belakang tidak menyebabkan kesakitan, jadi kejadian ini mungkin tidak disedari.4 Kemungkinan sakit belakang dan hilang upaya akan meningkat, begitu juga fraktur tulang belakang yang selanjutnya dengan setiap fraktur baharu, apabila kerosakan tulang belakang semakin banyak.10 Anda tidak boleh membuat andaian bahawa sakit belakang hanyalah berpunca daripada ketegangan otot. Setiap orang yang diserang sakit belakang secara tiba-tiba hendaklah menjalani penilaian oleh doktor.

 

SG-01708-PRO-2020-February

RECENT POSTS

References

1 Sambrook P, et al. Lancet 2006;367:2010–18.

2 International Osteoporosis Foundation. Spot the signs of a broken spine. 2018. www.iofbonehealth.org.

3 Klotzbuecher CM, et al. J Bone Miner Res 2000;15:721–29.

4 Black DM, et al. N Engl J Med 2007;356:1809–22.

5 Xu W, et al. Bone 2011;48:307–11.

6 International Osteoporosis Foundation. Osteoporosis.Risk.Check. 2019. riskcheck.iofbonehealth.org.

7 Siminoski K, et al. Osteoporos Int 2005;16:403–10.

8 Cosman F, et al. Osteoporos Int 2014;25:2359–81.

9 International Osteoporosis Foundation. Staying power: Closing the adherence gap in osteoporosis. 2006. www.iofbonehealth.org.

10 Lems WF. Ann Rheum Dis 2007;66:2–4.

11 Guglielmi G, et al. Eur Radiol 2008;18:1484–96.